Pages

Coretan 82: antara aku, kambing & hari raya korban...

bermulanya coretan 82...

Tika itu aku baru tiba di kampung halaman. Baru kurang lebih 30 minit berlalu. Esok adalah Hari Raya Korban. Sedangku terbaring kepenatan di depan kaca tv, terkenangku akan kedua ibu bapaku. Apa lagi persediaan yang sedang mereka lakukan? Lalu aku dayakan tubuhku untuk bangkit dan pergi mencari mereka.

Saat melangkah keluar pintu, sayup-sayup aku terdengar suara ibu bapaku di belakang rumah. Lalu kusarung capal dan menuju ke arah suara itu datang. Di kejauhan ku terlihat ibu bapaku berada di seberang pagar, diluar kawasan rumah. Aku mula hairan. Apa yang mereka sedang lakukan? Kemudian aku melangkah perlahan dan menghampiri mereka.

Rupa-rupanya mereka berdua sedang berusaha menyelamatkan seekor kambing yang terperangkap dalam lubang sampah yang dipenuhi air. Sayu hatiku bila terlihatkan kambing hitam itu yang tenggelam timbul cuba mengeluarkan dirinya dari lubang yang dalam itu. Dia mengembek seperti cuba meminta pertolongan. Tidak sanggup dirinya untuk menjadi mangsa lemas dalam lubang sampah berair itu pada Hari Raya korban kali ini. Berkali-kali dia melonjakkan badannya dan berusaha untuk keluar dari lubang maut itu, namun tidak berjaya.

Berasaskan perikemanusiaan yang dimiliki oleh ayahku, beliau lalu cuba membantu kambing itu mengeluarkan dirinya. Berbekalkan seutas tali yang diikat seperti tali koboi, seperti seorang koboi jua ayahku cuba melontar tali itu sehingga masuk ke bahagian leher kambing tadi. Setelah beberapa cubaan, ayahku lalu berjaya. Kemudian beliau menarik kambing itu ketepi tebing lubang itu, memegang kuat kedua tanduknya dan menariknya ke atas. Lalu kambing hitam itu pun berjaya diselamatkan.

Sebelum berlalu pergi, kambing itu sempat berpaling ke arah kami bertiga, seperti mengucapkan terima kasih atas bantuan yang telah dihulurkan. Jika tiada siapa menolong, dia pasti akan terperangkap di dalam lubang itu untuk beberapa lama lagi dan tidak mustahil untuk menjadi korban di hari raya korban ini. Begitulah kata orang, pantang maut sebelum ajal. Semuanya berlaku kerna izin-Nya.


Seekor kambing hitam...


Yang diselamatkan oleh seorang koboi estate...


Selamat Hari Raya Korban

berakhirnya coretan 82...

Coretan 81: personaliti check...

bermulanya coretan 81...

Setiap pagi, lepas masuk opis, letak beg, bukak jaket, setup laptop, duduk sekejap, aku akan pergi ke tandas sambil membawa sebuah sikat berwarna oren untuk melakukan 'personaliti check'.

Antara checking2 yang biasa aku lakukan adalah:

- memastikan keadaan rambut dan bahagian berbulu lain seperti bulu kening dan janggut mawi berada dalam keadaan yang tersisir rapi
- memastikan tiada sisa2 'eye shit' atau 'nose shit' yang kelihatan di mana2 bahagian muka
- memastikan ukuran panjang bulu hidung bersesuaian dan tidak menjengah keluar apabila tersenyum lebar
- memastikan baju dimasukkan kedalam seluar dengan sekata dan tidak seperti budak jahat sekolah menengah
- memastikan zip seluar ditutup kemas

Banyak kelebihan apabila personaliti check ini dilakukan. Antaranya:

- anda akan lebih yakin bila berhadapan dengan orang lain
- orang lain tidak perlu serba salah untuk memberitahu anda bahawa ada 'nose shit' terkeluar sedikit dari hidung anda
- anda akan merasa diri anda sedikit hensem/cantik
- kehadiran anda akan disedari oleh pekerja2 lain di pejabat, terutamanya bos anda ketika anda pergi ke tandas (tunjuk muka)

Aku mula mengamalkan personaliti check ini ketika aku bekerja sebagai promoter horlick di carrefour dulu. Cermin besar disediakan di pintu masuk untuk pekerja bagi memastikan para pekerja sentiasa berada dalam keadaaan yang menyenangkan. Sila amalkan.

berakhirnya coretan 81...

Coretan 80: impian yang tertunai...

bermulanya coretan 80...

Harini sampai rumah lewat sikit. Baru balik dari first jamming session yang aku impikan selama ni. Main kat Guitar and Music Gallery, Ampang. Dah lama dah sebenarnya plan nak main nih. Tapi atas sebab2 yang tak dapat dielakkan, terbengkalailah program tersebut. Namun petang tadi, bermula 6 petang, 4 orang noob dunia jamming telah beraksi. Ahli kumpulan terdiri daripada...

1 - Aku selaku Bassist,
2 - Rafi selaku Drummer( bidang terjun),
3 - Sapek selaku pemain gitar Lead
4 - Dik Bil selaku Vokalis.


Antara lagu2 yang 'disumbangkan' kami...

1 - Macam Batu - Hamba Audio
(Like a Stone - Audioslave)
2 - Masa sedang berlari keluar - Musa
(Time is running out - Muse)
dan beberapa lagu tidak formal yang lain...


Secara keseluruhan, aku berpuas hati dengan prestasi ahli kumpulan berasaskan kepada tahap skill dan pengalaman yang ada. Meskipun hampir menjadi lagu sampah, namun iramanya masih boleh difahami dan dikenalpasti. Tahniah kepada semua!

Ahli kumpulan, sila fikirkan masa yang sesuai untuk sesi kedua. Terima kasih.

berakhirnya coretan 80...

Coretan 78: mari belajar memasak...

bermulanya coretan 78...

Aku ada satu rahsia, yang orang lain tidak tahu. Hanya aku seorang saja yang tahu. Dan Allah tentunya. Rahsia ini berlaku ketika aku sedang bercuti. Tapi hari itu bukan hari cuti. Cuma aku seorang saja yang bercuti. Bekerja dari rumah. Bila aku bangkit dari mati sekejap, aku lihat sudah tiada siapa didalam rumah. Lalu aku pun melayari internet dan facebook.

Beberapa minit kemudian, aku mula bosan. Lalu terlintas difikiranku untuk melakukan sesuatu yang jarang kulakukan. Iaitu memasak! Aku memang tidak pandai memasak. Aku cuma mampu masak ayam masak merah, masak lemak cili api, ikan 3 rasa, spaghetti dan double cheese burger saja. Oh, aku tipu. Aku cuma pandai masak air, meggi dan telur sahaja.

Setelah berfikir sejenak, aku pun melayari internet dan menaip...

'Cara-cara memotong bawang'

Lalu keluarlah 22600 keputusan yang berkaitan dengan pencarianku. Kemudian aku pun klik link ini http://lovely-honey.blogspot.com/2006/05/cara-memotong-bawang.html dan belajar memotong bawang dari blog itu. Dan aku berjaya setelah 3 ulas bawang merah hancur dek menjadi mangsa kekejaman ku.

Setelah berpuas hati dengan potongan2 yang kulakukan, aku pun merancang resipi rancangan memasak ku ini. Berdasarkan bekalan bahan mentah yang ada, aku pun merancang untuk memasak makanan kegemaranku iaitu...ikan bilis goreng!

Lalu minyak pun dipanaskan. Dan dengan tegarnya aku pun mencampakkan segenggam ikan bilis ke dalam minyak panas itu. "Wah, menjadi. Senang je nak buat ni...hmm~" Fikirku dalam hati. Gaul punya gaul, ikan pun lalu hangus. Setelah diangkat dan dijamah, maka masinlah rasanya. Lalu dengan tegarnya aku mencampakkan ikan-ikan tersebut ke dalam plastik hitam. "Gagal nampaknya..."

Kemudian, aku terlihat telur, bawang yang sudah siap dipotong, dan ikan bilis. Resipi kedua adalah...telur dadar ber'ikan bilis'! Hmm...menarik. Dua biji telur kemudian dipecahkan dan dikocak bersama hirisan2 bawang dan ikan2 bilis yang telah mati dan dicurah kedalam minyak panas yang menggelegak. Dan hasilnya....!
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
A MASTERPIECE!!!



Benarlah kata orang, don't judge a book by its cover, don't judge a telur dadar by its look...Walaupun luarnya nampak kurang menarik, namun rasanya...juga tidak menarik. Kerana sedikit masin. Oh,aku tipu. Banyak masin sebenarnya. Aku lalu makan dengan reda. Bersama sebungkus nasi goreng CINA buatan ANE mapley. Kontradik sangat bukan?

Dalam proses menyeksa tekak.(Bentuk LOVE di sos itu tidak disengajakan)



Oh,berjaya menghabiskan. (Sudu garfu yang dipangkah bermakna tidak mahu apa2 lagi)



Kemudian aku mengemas rumah dan menghapuskan segala bukti yang ada. Itulah antara aktiviti aku pada hari aku saja bercuti.

p/s: aku rasa seorang tukang masak lelaki adalah sangat cool...

berakhirnya coretan 78...

Coretan 77: insan baru...

bermulanya coretan 77...

Alhamdulillah~
Sepatah kata buat merungkai tanda syukur ku pada Mu.
Bila dengan izin Mu, seorang lagi insan telah lahir melihat dunia Mu ini.
Pada 10 Nov 2009. Jam 2305.
Melalui seorang ibu bernama Noorwanisazrina.
Dan ayah bernama Khairil Ariffien.
Semoga insan ini dipanjangkan usia dan dipermudah urusan dunia dan akhirat.
Sentiasa di bawah lindungan Nya.
InsyaAllah.

Anak buah aku keempat.
Muhamad Arief Hadief B Khairil Ariffien.



Oh...ayahnya memang bengong..hahah~

berakhirnya coretan 77...

Coretan 75: teknik berpisah secara aman...

bermulanya coretan 75...

Artikel ni aku copy paste dari www.gua.com.my...so kredit tuk diorang...sangat berguna untuk orang-orang yang memerlukan tips berpisah...macam aku! hahah~

5 Mac 2008

NOTA: GUA tidak bertanggungjawab jika teknik yang dicadangkan ini tidak berjaya menghasilkan keputusan yang diharapkan. Pastikan pasangan anda tidak membawa objek-objek yang merbahaya atau sedang meminum air panas yang mungkin mencederakan diri anda atau dirinya ketika mesej perpisahan itu disampaikan. GUA mengucapkan selamat berjaya dan kuatkan semangat anda dalam memilih arah masing-masing yang bertentangan.

Tidak ada masa yang sesuai untuk pasangan berpisah. Yang baru declare seminggu atau yang sudah berpuluh tahun bersama, serupa saja sukarnya. Begitu ramai yang stay in a relationship walaupun sudah tidak bertenaga dan bermaya hanya kerana tidak mahu memulakan bicara tentang perpisahan. Tiada siapa yang ingin berpisah tetapi jika sudah tiada keserasian, lagi ditunggu lama lagi tidak wajar. Bak kata James Morrison, “no point trying when the pieces don’t fit anymore”, jadi kenapa perlu mencuba lagi. Bukan bercinta sahaja memerlukan kemahiran, berpisah juga perlu tahu tekniknya agar tidak mengalami an ugly breakup. Untuk mereka yang sudah ready untuk berpisah, dapatkan teknik berpisah cara aman eksklusif dari GUA.

Jangan berlengah untuk berpisah kerana apabila hati sudah tidak suka, sudah tidak sayang, apa pun pasangan lakukan tidak berkenan di mata anda. Samada anda sentiasa sakit hati atau anda akan abaikan sahaja dia kerana semuanya sudah jadi tidak penting bagi anda. Apabila perhubungan tawar dan hambar, siapa yang gembira? Anda pun tidak, dia pun berduka. Perhubungan perlu ditamatkan jika kebahagiaan sudah tidak ada di salah satu pihak. Masa yang diambil untuk memperbetulkan perhubungan adalah tidak berbaloi dan lebih baik digunakan sahaja masa ini untuk mencari pasangan baru yang lebih serasi. Jadi teknik pertama, jika sudah tidak serasi, jangan lengahkan perpisahan.

Untuk berpisah harus berani bersemuka dengan pasangan. Hanya pengecut yang berpisah menggunakan sms, email, telefon atau menghilangkan diri. Jumpa dia dan katakan isi hatimu, berbincanglah dengan aman dan tunjukkan kepadanya bahawa anda menghormati dirinya dan perpisahan ini perlu kerana sudah tiada keserasian dalam perhubungan lagi. Berhati-hati dengan reaksi yang mungkin anda terima daripada pasangan anda. Si dia mungkin marah, mungkin menangis, mungkin terkedu, mungkin meraung, anda tidak tahu. Walau bagaimanapun reaksi dia, anda perlu kuat untuk mempertahankan niat anda untuk berpisah dan jangan kerana beberapa butir airmata yang berlinang, hati jadi lembut dan anda menarik balik niat untuk berpisah walaupun di dalam hatimu hanya ada kasihan.

Elakkan daripada memberi isyarat bahawa jika ada jodoh, kita akan bersama juga akhirnya. Maksudnya, jangan memberi harapan ada kemungkinan untuk bersama kembali di masa akan datang. Jangan! Jika hendak putuskan perhubungan, putuskan dengan sempurna. Jangan biarkan pasangan anda cling on to something yang anda sendiri tahu tidak ada. Cantas habis, jangan tinggalkan apa-apa. Mungkin kedengaran kejam tetapi itu yang terbaik untuk anda dan dirinya.

Pastikan anda jangan menyakiti hatinya dengan meluahkan segala kekurangan yang dia paparkan di sepanjang perhubungan. Simpan sahaja itu semua. Lebih baik anda fokus kepada diri anda dan kenapa anda tidak lagi sesuai untuk berada di dalam perhubungan tersebut. Mengutuk diri dia hanya akan memburukkan keadaan dan jangan bodoh sangat untuk mengatakan bahawa anda sudah ada teman baru untuk menggantikan dia. Ini hanya akan menyebabkan anda mendapat kecederaan, paling kurang kena pukul dengan beg tangan.

Akhir sekali, dengarlah rayuannya untuk kali yang terakhir. Biarkan dia meluahkan apa perasaan yang dia rasa, kemarahannya, kesedihan, kekecewaannya. Itu hak dia untuk meluahkan rasa hatinya. Cuma, anda jangan lembut hati kerana kasihan dan menerima dia kembali walaupun hati anda sudah tiada niat untuk bersamanya lagi.

ok...try your best! and good luck! hua3~

berakhirnya coretan 75...

Coretan 73: Maafkan aku...(puisi dari hati)

bermulanya coretan 73...

[Lagu latar: Kembali Pulang by Kangen Band]


Lagu ini lagu yang kau tuju padaku dulu,

Kerna fikirmu tika itu aku telah kembali padamu,

Setelah kamu ku tinggal pergi satu masa dulu,

Tinggal tanpa khabar, tanpa berita, tanpa cerita,

Jua tanpa alasan yang konkrit,

Yang lalu membuatmu bertanya,

Akan sebab pemergianku tika itu.


Benarnya, aku punya alasan ku sendiri,

Alasan yang padaku bukan alasan,

Yang patut kujadikan alasan,

Kerna alasan itu tentunya kan menyakiti hatimu.


Namun alasan itu tidak utama bagimu lagi,

Kerna anggapanmu aku telah kembali disisi,

Kembali pulang padamu yang setia menanti,

Mengisi hatimu yang kosong sebelum kini.


Tapi sayang,

Aku harus dan akan pergi sekali lagi,

Kerna hati ini tidak mampu sekali,

Untuk menerima mu disisi kembali.


Maafkan aku,

Kerna keputusan ku yang berat ini,

Aku tak mampu menipu diriku lagi,

Jua menipu dirimu yang tulus mencintai diriku.


Aku harus pergi...

Benar, aku harus pergi,

Maka lepaskanlah aku dengan kerelaan,

Dan maafkan kerana aku tidak benar-benar kembali pulang padamu,

Maafkanlah aku...


Berakhirnya coretan 73...

coretan 72: 31 Oct 2009 vs 31 Oct 2000

bermulanya coretan 72...

31 Okt 2000

Masih jelas dalam ingatan aku, Hari Sukan Sekolah Sek.Keb.Datuk Akhir Zaman yang berlangsung tika itu. Sebagai Ketua Pengawas Sekolah, dan juga Ketua Rumah Sukan Hijau, aku memikul tanggungjawab yang besar dalam kejohanan kali ini. Meskipun aku bukan seorang atlet yang hebat, tapi aku perlu berkhidmat dalam proses pengurusan majlis besar ini. Ini juga merupakan kali terakhir aku akan menyertai kejohanan sukan sekolah rendah memandangkan aku sudah berada di Tahun 6, iaitu tahun terakhir di sekolah tersebut.

Sebenarnya, bermula Tahun 1 hingga Tahun 5, aku adalah ahli Rumah Sukan Merah yang mana antara rumah sukan terhebat di sekolah. Hampir saban tahun Rumah Merah memenangi Kejohanan Sukan di sekolahku. Namun, atas alasan Rumah Hijau memerlukan seseorang yang boleh diharapkan untuk mengetuai kumpulan tersebut, aku ditukarkan ke Rumah Hijau dan terus dilantik sebagai Ketua tanpa kerelaanku sendiri. Aku lalu menerima tanggungjawab yang diberikan dengan berat hati.

Tiba pada hari kejohanan, seperti yang dijangka, Rumah Merah sekali lagi menjadi Johan Keseluruhan. Pada mulanya, aku dapat menerima keputusan dengan tenang memandangkan keputusan tersebut sudah kujangka walaupun hati aku benarnya sedikit terguris dan sedih. Namun begitu, hatiku mula sakit, dan marahku mula menyala apabila dicabar, diejek dan ditertawakan oleh beberapa orang pelajar Rumah Merah yang sengaja ingin mencetuskan kemarahanku. Mereka menolak-nolak mukaku dengan piala kejohanan sambil mengeluarkan kata-kata ejekan yang tidak sedap didengar oleh telinga. Bagaikan mereka adalah penyumbang utama kemenangan itu, sedangkan apa yang aku tahu, mereka tidak lebih dari tukang sorak yang tidak memberi manfaat yang besar kepada kumpulan.

Pada mulanya aku masih mampu bersabar, namun setelah beberapa lama diperlakukan sebegitu, aku mula melawan dan menentang. Aku yang dari tadinya duduk diam, bangun dan terus menerpa ke arah salah seorang pelajar tadi hingga dia terbaring di atas tanah sambil tangannya masih memegang piala tadi. Aku yang bagaikan dirasuk hantu, terus melepaskan beberapa pukulan dan tumbukan di kepalanya. Namun belum sempat kemarahanku reda, aku ditarik oleh seorang pakcik tukang sapu yang kebetulan ada berhampiran. Aku ditenangkan olehnya dan kemudian aku pun berlalu pergi dari situ menuju ke telefon awam untuk menelefon ayahku bagi menjemputku pulang ke rumah.

Mulai dari hari itu, aku terus mengisytiharkan 31 Okt sebagai hari paling kubenci. Kenangan pahit itu akan terus tersemat di hati. Meskipun ianya hanyalah perkara kecil, namun aku tidak dapat menahan apabila maruahku diinjak-injak oleh orang lain. Pantang bagiku diperlakukan sebegitu. Aku ingat lagi, ada aku tuliskan perihal ini di almari baju rumah lamaku. Ayatnya masih ku ingat lagi,

"31 Oktober 2000: Hari paling menyedihkan, hari paling kubenci..."

Tapi aku tak pasti samada ianya masih ada atau tidak. Kerna rumah itu sudah lama kutinggalkan dan didiami orang lain kini.

...INTERVAL...

31 Okt 2009

9 tahun kemudian, pada tarikh yang sama. Aku dan 7 orang Geng Pandan Mewah(GePaM) yang lain telah berkelah di Hutan Rekreasi Sg. Gabai, Hulu Langat. Perjalanan dari rumah sewa kami di Pandan Mewah hanya mengambil masa kurang lebih 40 minit sahaja. Sebuah kereta dan 4 buah motor terlibat dalam aktiviti kali ini.

Rancangan asal mahu bertolak awal, jam 8 pagi. Namun rahmat Allah yang turun di pagi harinya, menolak masa perjalanan sehingga jam 11 pagi kurang lebih. Setelah membuat persiapan, seperti masak hotdog, nugget, dan membuat inti sandwich, kami pun bertolak.







Engineering Chef at work! Rancangan memasak tanpa mandi...hahah~

Setelah tiba disana, kami terpaksa menaiki tangga ala-ala batu caves untuk sampai ke level teratas air terjun tersebut. Satu kesilapan yang dibuat sebelum mendaki adalah:- kami tidak makan terlebih dahulu walaupun hari sudah tengahari. Maka apabila tiba di atas, ada di antara kami yang hampir pitam.

[Bertolak pergi...]


[Ketibaan...]


[Kegembiraan jelas terpancar pada mula perjalanan...]


[Berusaha!]


[Sampai juga akhirnya...keletihan dan kemengahan...]


Lalu setelah makan dan berehat beberapa lama sambil mencuci mata, kami pun turun ke air. Kami pun menyelam, berenang, menerima urutan ogawa air terjun, melakukan kuak lentang, terjun katak, balik kuang, meluncur atas batu, menolak saudara Jaws ke arah batu, tergolek dan sakit, mengambil gambar, mengambil gambar awek tanpa pengetahuan beliau dan melakukan berbagai lagi aktiviti di sana.

[Sesi berehat sambil mencuci mata]


[Sesi mandi sambil bergambar]


[Sesi mandi sambil bergambar lagi]


[Sesi balik kuang dan terjun tiruk]


[Sesi mengisi perut]


[Sesi meluncur menggunakan dada]


[Sesi....erm,rafi tolong terangkan...hahah~]


[Sesi menolak saudara Jaws ke arah batu]


Setelah beberapa lama dan hari hampir hujan, kami pun berkemas dan berjalan pulang. Meskipun keletihan, namun kami tetap gembira kerana rancangan kami untuk berkelah telah berjaya. Mungkin kami akan ketempat lain pula selepas ini. Ada cadangan?

[Sesi menurun tangga berangkat pulang]


[Sesi bergambar di papan tanda]


Setelah berakhir sesi berkelah ini, aku tiada apa-apa perasaan benci pada tarikh 31 Oct lagi. Hanya neutral. Ya, neutral.



berakhirnya coreta 72...

coretan 71: 7 kamu, 1 aku...

Bermulanya coretan 71…

Aku kini dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari UTP. Duduk di kerusi bernombor 13B (Aisle), koc X2, tren komuter menuju ke Sentral KL dari Batu Gajah dengan masa pelepasan jam 1338, dan tiket berharga RM22 kelas 2. Tiada siapa duduk disebelahku tika ini. Hanya aku seorang. Tidak berteman.

Hati aku benarnya masih sedih. Masih pilu bila mengenangkan perpisahan yang terpaksa dilalui antara aku dan beberapa orang teman-temanku, atau lebih benar aku katakan, sahabat-sahabatku – iaitu Nuar, Din, Aini, Zye, Pojan, Izzi & Helhal. Mereka adalah abang dan kakak ku dalam TTS. Tidak lama lagi mereka akan menamatkan pengajian di UTP. Terus, meninggalkan aku dan teman-teman TTS yang lain dengan seribu kenangan manis yang tak kan dapat kulupakan. Gelak tawa, gurau senda, sedih hiba & susah senang yang kami lalui terlalu berharga untuk dilupakan.

Saat mereka pergi, separuh dari semangatku mereka bawa bersama. Mereka terlalu berharga buatku. Terlalu istimewa dalam sejarah hidupku. Manusia-manusia ini sentiasa ada walau dalam apa situasi yang aku lalui. Tika aku susah mahupun senang. Mereka selalu ada buat peneman, buat penenang.

Aku tidak berniat mencoretkan perihal tiap dari mereka melalu bola mata ku. Kerna bagiku biarlah itu menjadi rahasia dalam diariku. Mungkin aku hanya coretkan bait-bait yang ingin kuluah tapi tak sampai sebelum ini disini…

Buat semua, aku mohon maaf atas segala salah silap/kutukan/umpatan mahupun carutan yang pernah terlepas dari bibir nakal aku ni. Ketahuilah bahawa tiap satu daripadanya tidak pernah bermakna. Kiranya ada yang pernah mengusik hati, maka maafkanlah aku. Sesungguhnya aku hanya manusia biasa yang tidak pernah lepas dari melakukan kesilapan.

Terima kasih kerana telah hadir menyerikan hari-hari ku, membantu menenangkan dalam kesibukanku, memberiku kekuatan dalam lemahku, memberiku suara dalam sepiku dan memberiku teman dalam sendiriku.

Perkenalan dan persahabatan yang tercipta bersama tiap seorang dari kamu adalah satu anugerah Allah yang paling bermakna dalam hidupku. Moga anugerah-Nya ini sentiasa dibawah limpahan rahmat dan kurnia-Nya. Aku tidak pernah mengharapkan yang lain selain persahabatan ini kekal hingga ke akhir hayat.

Jika pada satu hari aku ‘kononnya’ melupakan dirimu, maka janganlah maafkan aku sehingga aku mengingati kamu kembali. Dan aku benarkan kamu untuk memberikan tamparan yang paling kuat di pipiku ini sebagai penghukum kealpaanku yang tidak boleh diterima akal itu.

Sekali lagi, terima kasih diatas segala jasa dan pengorbanan kalian. Ingatlah bahawa persahabatan kita tidak kan terhenti disini. Benarkanlah ia berterusan buat selamanya meski di dunia yang selepasnya nanti. Terima kasih sahabat…


wajah-wajah kesayangan...

izzi


zye


ad


din


nuar


pojan


helhal


berakhirnya coretan 71…

coretan 70: e-More See...

bermulanya coretan 70...

Beberapa hari kebelakangan ni, aku kerap menukar profil blog ini. Kerana tekadang aku mahu menjadi yang lain dari diriku. Yang lain dari biasanya. Kerna aku khuatir aku menjadi orang yang membosankan. Berada dalam fasa yang sama dari dulu. Dari azali. Padaku itu satu kelemahan, untuk berada di satu takuk dan sering memikirkan pandangan orang lain terhadap diriku. Namun kadang jua boleh menjadi kelebihanku.

Aku juga seorang yang sangat mudah terpengaruh dengan keadaan sekeliling. Seperti lalang adanya. Mudah mengubah pendirian yang aku dirikan pada mulanya. Mudah terikut-ikut kata orang. Kerna padaku amat sukar untuk mempertahankan pendirianku. Kerna aku mudah beremosi. Bila aku beremosi, tentu sekali aku kan sukar memikirkan subjek-subjek yang relevan untuk dijadikan dinding mempertahankan pendirianku. Kerna itu emosi perlu dikawal dalam apa jua keadaan.




Emosi yang tak dikawal mampu membuahkan pelbagai situasi dan keadaan. Pertengkaran, pergaduhan, malah pembunuhan pun mampu wujud bila emosi berada di luar kawalan. Jangan sekali-kali membuat keputusan ketika beremosi kerana peratusan untuk tidak membuat keputusan yang bernas ketika beremosi adalah sangat tinggi. Kelak sesal dengan keputusan yang dibuat. Maka buatlah keputusan tika telah tenang dan mampu berfikir dengan waras.



Pelbagai cara telah wujud untuk mengawal emosi. Bagi yang beragama Islam, lekaslah beristighfar dan mengingati Allah. Memohon darinya untuk kembali tenang. Tarik nafas sedalam mungkin dan lepaskan perlahan-lahan. Jika sesuai, baringlah di atas lantai buat sementara masa bagi mengalirkan cas-cas negatif ketempat lain. Ataupun berwuduklah atau mandi terus bagi menyejukkan hati yang panas. Antara lain lagi, lepaskan kemarahan kepada sesuatu yang tidak bernyawa. Lepaskan emosi negatif melalui tumbukan atau tendangan pada bantal atau tilam. Selain boleh juga menjerit sekuat hati pada persekitaran.



Kawalan emosi yang bagus mampu menjadikan kita lebih penyabar dan disenangi. Jika kita terlalu mudah beremosi, dikhuatiri akan menjejaskan hubungan dengan makhluk sekeliling . Yang mana tentulah itu bukan kondisi yang diingini. Oleh itu, kawallah emosi anda sebelum ia mengawal anda.



berakhirnya coretan 70...

coretan 69: surat untuk sesapo yang bekonaan...


bermulanya coretan 69...

Assalamualaikum...uhuk2~ (sambil menyapu sawang2 dan debu sekitar ruang...)

Uih, lamo bona dah ghaso eh den tak menaip kek sini. Sojak duo monjak ni, sibuk boto plak. Especially eh pasal teater. Dah dokek2 nak show tu kono la prektis lobih skit. Malam2 lopeh kojo kang poie la umah si pacel tu buek prektis. Balik kang dah lotih, takdo larat nak online ko apo laie ko...membuto yo la namo eh.

Sonang cito, wiken lopeh den ngan bebudak teater den yang laen buek show kek taman budayo KL. Macam yang dah diuar2 kn sebolum nih, TTS buek 'jelajah teater' dari UTP, pehtu Taman Budayo Perak, pehtu Taman Budayo KL. Yang kek KL nih dio join venture plak ngan grup teater KL, The Qum Actors (TQA) untuk duo malam punyo performance. Eden yang secaro kebetulan prektikel kek KL ni pun lalu terlibat samo serayo memogang watak Paktam dalam teater Miao Miao Sang Arnab arahan sedaro Pacel.

Overally, den pueh ati ngan sumo bondo. Dari segi lakonan, persembahan, flow event, sambutan penonton dan sumo2 eh la. Bagi den sumo eh ok. Tapi cumo satu yo yang kurang - promosi. Promosi patut eh kono lobih laie memandangkan kito ni tak popular...kek KL. Cubo kito nengok, yang datang maso siang2 buto cumo sedaro-maro dan family terdokek. Maso malam eh plak sebaik ado rombongan KPM tang Kuantan nua ha. Kok tak hambar yo raso eh. Macam yang kawan den seorang pengkritik bebas cakap, kito memang ado buek promosi, cumo mungkin medium yang digunokan tak berapo nak berkosan.

Sebagai contoh, kito promot dalam 'buku muko' yang mano mungkin sebahagian bosar kengkawan kito dalam tu adolah budak2 engineering ataupun orang2 yang tak berapo nak minat ngan bondo nih. Jadi kok ado yang baco pun, mungkin cumo masuk mato kiri, kua mato kanan. Tak berkosan. Oleh sobab itu, untuk apo2 show lopeh2 ni, dio (pengkiritik bebas) mintak kito forward kek dio untuk dipromosi memandangkan dio ado ramai kabel dalam bidang nih. Mako eh, usoho promosi akan menjadi lobih berkosan. InsyaAllah

Tapi walau apo pun, den totap raso berbanggo menjadi sebahagian dari sebuah kumpulan yang bernamo TTS nih. Dari sini den belaja banyak bondo. Bilo den masuk kumpulan nih, bukan semato2 den dapek ilmu teater yo. Banyak laie ilmu lain yang den dapek. Ilmu agama,ilmu kemanusiaan, ilmu pengorbanan, ilmu persahabatan, ilmu percintaan dan berlambak laie ilmu2 lain. Tak nyosa den poie audition TTS ni 3 taun lopeh. Den besyukur sobab Allah bukak pintu ati dan bagi den kekuatan maso tu untuk datang ke blok b tompek audition maso tu. Walaupun den maso tu sogan gilo raso eh.

Den nak mintak maap kek sesapo yang den ado buek salah, takpun ado buek marah sepanjang den kona korang lam kumpulan neh. Kok ado yang den telopeh cakap tu, den mintak maap. Den memang telopeh, bukan sesajo. Kok sesajo pun mintak maap gak la yo. Den nak ucap tahniah kek sumo yang buek kojo. Kok ado yang tak buek kojo, rajin2 la buek lopeh ni. Boghek pikul sesamo, ghingan jinjing sesamo jugak. Golak kito sesamo, sodih pun sesamo. Jangan ponting an diri sendiri. Kok takdo kengkawan tu, ekau bukan sesapo do. Ingatla tu.

Den nak ucap timo kasih secaro personal kek cikgu teater den, Dr.Shark. Sampai mati den ingat jaso Doc. Kok satu ari sok den lupo sumo tu, den mintak doc lompang la den sekuek ati. Kecuali kok maso tu den memang ilang ingatan, takyah la lompang kuek2, bagi la gamba ko, video ko, nak tolong ingat balik...k

Sayang gilo den kek korang sumo neh. Dari yang kocik sampai yang bosa. Dari yang pendek sampai yang panjang...eh,tinggi. Dari yang gomok sampai yang kurus. Siyes den sayang korang. Jago diri leklok, jangan lupo kenangan kito sesamo. Kok satu ari kito jumpo, kau buek2 tak kona pulak, memang maso tu kompom kau kono lompang ngan den.

Mogo2 kito dapek jumpo laie kek memano, bilo2 maso. Gudbye~

Yang benar,
Pak Zam

berakhirnya coretan 69...

coretan 68: kisah masa laluku...

bermulanya coretan 68...

Apa yang aku terlepas? Raya? Teater? Cinta? Hmm...

Tak mengapa. Kita singgah satu persatu. Bermula kisah raya...Kemudian nanti tentang teater...dan ketiga? Cinta... Hmm, ada apa dengan cinta? Biarlah cerita berbicara...

Kisah 1: Raya

Raya ku seperti biasa. Seperti yang lepas2. Tidak terlalu banyak perubahan. Cuma ini kali pertama kami beraya di rumah baru...baru pindah. Kurang lebih sambutan raya kali ini dirasakan lebih selesa dan meriah. Pada malam hari, hanya rumah kamilah yang terang berhias dengan lampu lip lap dan cahaya dari sumbu2 pelita sekitar kejiranan itu.








Kisah 2: Teater

Hmm..teater pun ada cerita besar jugak. "The Shark Attack Theater Tour" dah mula menyerang 2,3 minggu lepas. Bermula di UTP, kemudian minggu ini di Taman Budaya Ipoh dan...akan datang di Taman Budaya Kuala Lumpur, join venture dengan The Qum Actors. So sesape yang berminat boleh la datang. For details visit www.tronohtheatershop.blogspot.com.my

Kali ini buat pertama kalinya aku mewakili The Qum Actors mementaskan Miao Miao Sang Arnab. Aku pernah berlakon cerita ini beberapa tahun lepas namun dalam versi yang sedikit lain, Cinta Sang Arnab. Namun masih sama dari segi jalan cerita, plot dsb. Cuma watak dan perwatakan yang ditukar sedikit. Tika itu aku memegang watak Roy, seorang playboy. Namun kali ini aku memegang watak Paktam. Seorang pakcik yang busy body. Sungguh, aku tak pernah memegang watak orang tua memandangkan sebelum ini watak tua sering didominasi oleh seorang rakanku yang tidak perlulah namanya disebut disini. (Jangan risau Khairul Anwar Samad, aku jaga privasi kau...k) Terus, mari kita lihat beberapa snap sementelah sesi latihan dan promosi Miao Miao Sang Arnab dari TQA.







Kisah 3: Cinta

Hmm..kompleks kisah ini. Ada apa dengan cinta? Sukar untuk kuceritakan. Tidak seperti kisahku lepas2. Terasa seronok untuk dikongsi. Namun kali ini, entahlah...benar sukar. Ringkasnya, aku menemukan seorang kenalan lama dan kembali berhubung dengannya tika ini. Cukuplah sekiranya itu sebagai pemula cerita. Izinkan aku menyusun dahulu baris2 kata cerita sebelum ku hamparkan disini kemudian...begitu pintaku.

Oh,cukuplah disini aku bercerita. Lain hari aku tiba lagi.

berakhirnya coretan 68...

coretan 67: Geng Pandan Mewah (GePaM) berbuka puasa bersama-sama di Kedai Ronald McDonald...

bermulanya coretan 67...

Pada 16 Sept bersamaan 26 Ramadhan bersamaan hari Rabu yang lalu, Geng Pandan Mewah (GePaM) tanpa kehadiran Epol dan Jowsh telah mengadakan satu sesi berbuka puasa bersama-sama di McDonald dengan tujuan mengeratkan silaturrahim sesama kami disamping meraikan hari2 terakhir Ramadhan bersama-sama.

Pada mulanya, saudara Pejan mencadangkan untuk kami berbuka di Tesco Ampang kerana menurutnya ada buffet yang berharga RM12 di salah satu kedai makanan di sana. Namun atas sebab2 yang tak dapat dielakkan, contohnya seperti jalan yang jem, ujan yang turun, dan perlu pergi ke Sg. Besi secara tiba2, cadangan beliau pun ditolak.

Sebahagian dari Geng Pandan Mewah (GPM)


Menanti saat bahagia - berbuka


Diari Ramadhan Rafi


En. Kudin


En. Nabil dan En. Hanis


En. Pejan (nate)


En. Rafi


En. Kudin yang gembira


Balance - Enjoy - Taste - Choice - Fun


Mek Di pade mewoh


berakhirnya coretan 67...

::disklemer::

Segala coretan yang dimuatkan dalam laman 'corat coret kehidupan' ini adalah hasil tulisan Khairil Nizam Bin Mohamad Darus. Sebarang jenis ambilan dan adaptasi dari laman ini perlulah dengan kebenaran. Beliau menulis berdasarkan pemikiran, pengetahuan dan pengalaman sendiri tanpa berniat untuk menyinggung atau mempersendakan sesiapa. Sekiranya ada yang tidak senang dengan apa yang disampaikan, harap dimaafkan. Semoga kita sentiasa berada di bawah lindungan Allah S.W.T.