Pages

coretan 70: e-More See...

bermulanya coretan 70...

Beberapa hari kebelakangan ni, aku kerap menukar profil blog ini. Kerana tekadang aku mahu menjadi yang lain dari diriku. Yang lain dari biasanya. Kerna aku khuatir aku menjadi orang yang membosankan. Berada dalam fasa yang sama dari dulu. Dari azali. Padaku itu satu kelemahan, untuk berada di satu takuk dan sering memikirkan pandangan orang lain terhadap diriku. Namun kadang jua boleh menjadi kelebihanku.

Aku juga seorang yang sangat mudah terpengaruh dengan keadaan sekeliling. Seperti lalang adanya. Mudah mengubah pendirian yang aku dirikan pada mulanya. Mudah terikut-ikut kata orang. Kerna padaku amat sukar untuk mempertahankan pendirianku. Kerna aku mudah beremosi. Bila aku beremosi, tentu sekali aku kan sukar memikirkan subjek-subjek yang relevan untuk dijadikan dinding mempertahankan pendirianku. Kerna itu emosi perlu dikawal dalam apa jua keadaan.




Emosi yang tak dikawal mampu membuahkan pelbagai situasi dan keadaan. Pertengkaran, pergaduhan, malah pembunuhan pun mampu wujud bila emosi berada di luar kawalan. Jangan sekali-kali membuat keputusan ketika beremosi kerana peratusan untuk tidak membuat keputusan yang bernas ketika beremosi adalah sangat tinggi. Kelak sesal dengan keputusan yang dibuat. Maka buatlah keputusan tika telah tenang dan mampu berfikir dengan waras.



Pelbagai cara telah wujud untuk mengawal emosi. Bagi yang beragama Islam, lekaslah beristighfar dan mengingati Allah. Memohon darinya untuk kembali tenang. Tarik nafas sedalam mungkin dan lepaskan perlahan-lahan. Jika sesuai, baringlah di atas lantai buat sementara masa bagi mengalirkan cas-cas negatif ketempat lain. Ataupun berwuduklah atau mandi terus bagi menyejukkan hati yang panas. Antara lain lagi, lepaskan kemarahan kepada sesuatu yang tidak bernyawa. Lepaskan emosi negatif melalui tumbukan atau tendangan pada bantal atau tilam. Selain boleh juga menjerit sekuat hati pada persekitaran.



Kawalan emosi yang bagus mampu menjadikan kita lebih penyabar dan disenangi. Jika kita terlalu mudah beremosi, dikhuatiri akan menjejaskan hubungan dengan makhluk sekeliling . Yang mana tentulah itu bukan kondisi yang diingini. Oleh itu, kawallah emosi anda sebelum ia mengawal anda.



berakhirnya coretan 70...

::disklemer::

Segala coretan yang dimuatkan dalam laman 'corat coret kehidupan' ini adalah hasil tulisan Khairil Nizam Bin Mohamad Darus. Sebarang jenis ambilan dan adaptasi dari laman ini perlulah dengan kebenaran. Beliau menulis berdasarkan pemikiran, pengetahuan dan pengalaman sendiri tanpa berniat untuk menyinggung atau mempersendakan sesiapa. Sekiranya ada yang tidak senang dengan apa yang disampaikan, harap dimaafkan. Semoga kita sentiasa berada di bawah lindungan Allah S.W.T.