Pages

Coretan 82: antara aku, kambing & hari raya korban...

bermulanya coretan 82...

Tika itu aku baru tiba di kampung halaman. Baru kurang lebih 30 minit berlalu. Esok adalah Hari Raya Korban. Sedangku terbaring kepenatan di depan kaca tv, terkenangku akan kedua ibu bapaku. Apa lagi persediaan yang sedang mereka lakukan? Lalu aku dayakan tubuhku untuk bangkit dan pergi mencari mereka.

Saat melangkah keluar pintu, sayup-sayup aku terdengar suara ibu bapaku di belakang rumah. Lalu kusarung capal dan menuju ke arah suara itu datang. Di kejauhan ku terlihat ibu bapaku berada di seberang pagar, diluar kawasan rumah. Aku mula hairan. Apa yang mereka sedang lakukan? Kemudian aku melangkah perlahan dan menghampiri mereka.

Rupa-rupanya mereka berdua sedang berusaha menyelamatkan seekor kambing yang terperangkap dalam lubang sampah yang dipenuhi air. Sayu hatiku bila terlihatkan kambing hitam itu yang tenggelam timbul cuba mengeluarkan dirinya dari lubang yang dalam itu. Dia mengembek seperti cuba meminta pertolongan. Tidak sanggup dirinya untuk menjadi mangsa lemas dalam lubang sampah berair itu pada Hari Raya korban kali ini. Berkali-kali dia melonjakkan badannya dan berusaha untuk keluar dari lubang maut itu, namun tidak berjaya.

Berasaskan perikemanusiaan yang dimiliki oleh ayahku, beliau lalu cuba membantu kambing itu mengeluarkan dirinya. Berbekalkan seutas tali yang diikat seperti tali koboi, seperti seorang koboi jua ayahku cuba melontar tali itu sehingga masuk ke bahagian leher kambing tadi. Setelah beberapa cubaan, ayahku lalu berjaya. Kemudian beliau menarik kambing itu ketepi tebing lubang itu, memegang kuat kedua tanduknya dan menariknya ke atas. Lalu kambing hitam itu pun berjaya diselamatkan.

Sebelum berlalu pergi, kambing itu sempat berpaling ke arah kami bertiga, seperti mengucapkan terima kasih atas bantuan yang telah dihulurkan. Jika tiada siapa menolong, dia pasti akan terperangkap di dalam lubang itu untuk beberapa lama lagi dan tidak mustahil untuk menjadi korban di hari raya korban ini. Begitulah kata orang, pantang maut sebelum ajal. Semuanya berlaku kerna izin-Nya.


Seekor kambing hitam...


Yang diselamatkan oleh seorang koboi estate...


Selamat Hari Raya Korban

berakhirnya coretan 82...

::disklemer::

Segala coretan yang dimuatkan dalam laman 'corat coret kehidupan' ini adalah hasil tulisan Khairil Nizam Bin Mohamad Darus. Sebarang jenis ambilan dan adaptasi dari laman ini perlulah dengan kebenaran. Beliau menulis berdasarkan pemikiran, pengetahuan dan pengalaman sendiri tanpa berniat untuk menyinggung atau mempersendakan sesiapa. Sekiranya ada yang tidak senang dengan apa yang disampaikan, harap dimaafkan. Semoga kita sentiasa berada di bawah lindungan Allah S.W.T.