Pages

Coretan 82: antara aku, kambing & hari raya korban...

bermulanya coretan 82...

Tika itu aku baru tiba di kampung halaman. Baru kurang lebih 30 minit berlalu. Esok adalah Hari Raya Korban. Sedangku terbaring kepenatan di depan kaca tv, terkenangku akan kedua ibu bapaku. Apa lagi persediaan yang sedang mereka lakukan? Lalu aku dayakan tubuhku untuk bangkit dan pergi mencari mereka.

Saat melangkah keluar pintu, sayup-sayup aku terdengar suara ibu bapaku di belakang rumah. Lalu kusarung capal dan menuju ke arah suara itu datang. Di kejauhan ku terlihat ibu bapaku berada di seberang pagar, diluar kawasan rumah. Aku mula hairan. Apa yang mereka sedang lakukan? Kemudian aku melangkah perlahan dan menghampiri mereka.

Rupa-rupanya mereka berdua sedang berusaha menyelamatkan seekor kambing yang terperangkap dalam lubang sampah yang dipenuhi air. Sayu hatiku bila terlihatkan kambing hitam itu yang tenggelam timbul cuba mengeluarkan dirinya dari lubang yang dalam itu. Dia mengembek seperti cuba meminta pertolongan. Tidak sanggup dirinya untuk menjadi mangsa lemas dalam lubang sampah berair itu pada Hari Raya korban kali ini. Berkali-kali dia melonjakkan badannya dan berusaha untuk keluar dari lubang maut itu, namun tidak berjaya.

Berasaskan perikemanusiaan yang dimiliki oleh ayahku, beliau lalu cuba membantu kambing itu mengeluarkan dirinya. Berbekalkan seutas tali yang diikat seperti tali koboi, seperti seorang koboi jua ayahku cuba melontar tali itu sehingga masuk ke bahagian leher kambing tadi. Setelah beberapa cubaan, ayahku lalu berjaya. Kemudian beliau menarik kambing itu ketepi tebing lubang itu, memegang kuat kedua tanduknya dan menariknya ke atas. Lalu kambing hitam itu pun berjaya diselamatkan.

Sebelum berlalu pergi, kambing itu sempat berpaling ke arah kami bertiga, seperti mengucapkan terima kasih atas bantuan yang telah dihulurkan. Jika tiada siapa menolong, dia pasti akan terperangkap di dalam lubang itu untuk beberapa lama lagi dan tidak mustahil untuk menjadi korban di hari raya korban ini. Begitulah kata orang, pantang maut sebelum ajal. Semuanya berlaku kerna izin-Nya.


Seekor kambing hitam...


Yang diselamatkan oleh seorang koboi estate...


Selamat Hari Raya Korban

berakhirnya coretan 82...

Coretan 81: personaliti check...

bermulanya coretan 81...

Setiap pagi, lepas masuk opis, letak beg, bukak jaket, setup laptop, duduk sekejap, aku akan pergi ke tandas sambil membawa sebuah sikat berwarna oren untuk melakukan 'personaliti check'.

Antara checking2 yang biasa aku lakukan adalah:

- memastikan keadaan rambut dan bahagian berbulu lain seperti bulu kening dan janggut mawi berada dalam keadaan yang tersisir rapi
- memastikan tiada sisa2 'eye shit' atau 'nose shit' yang kelihatan di mana2 bahagian muka
- memastikan ukuran panjang bulu hidung bersesuaian dan tidak menjengah keluar apabila tersenyum lebar
- memastikan baju dimasukkan kedalam seluar dengan sekata dan tidak seperti budak jahat sekolah menengah
- memastikan zip seluar ditutup kemas

Banyak kelebihan apabila personaliti check ini dilakukan. Antaranya:

- anda akan lebih yakin bila berhadapan dengan orang lain
- orang lain tidak perlu serba salah untuk memberitahu anda bahawa ada 'nose shit' terkeluar sedikit dari hidung anda
- anda akan merasa diri anda sedikit hensem/cantik
- kehadiran anda akan disedari oleh pekerja2 lain di pejabat, terutamanya bos anda ketika anda pergi ke tandas (tunjuk muka)

Aku mula mengamalkan personaliti check ini ketika aku bekerja sebagai promoter horlick di carrefour dulu. Cermin besar disediakan di pintu masuk untuk pekerja bagi memastikan para pekerja sentiasa berada dalam keadaaan yang menyenangkan. Sila amalkan.

berakhirnya coretan 81...

Coretan 80: impian yang tertunai...

bermulanya coretan 80...

Harini sampai rumah lewat sikit. Baru balik dari first jamming session yang aku impikan selama ni. Main kat Guitar and Music Gallery, Ampang. Dah lama dah sebenarnya plan nak main nih. Tapi atas sebab2 yang tak dapat dielakkan, terbengkalailah program tersebut. Namun petang tadi, bermula 6 petang, 4 orang noob dunia jamming telah beraksi. Ahli kumpulan terdiri daripada...

1 - Aku selaku Bassist,
2 - Rafi selaku Drummer( bidang terjun),
3 - Sapek selaku pemain gitar Lead
4 - Dik Bil selaku Vokalis.


Antara lagu2 yang 'disumbangkan' kami...

1 - Macam Batu - Hamba Audio
(Like a Stone - Audioslave)
2 - Masa sedang berlari keluar - Musa
(Time is running out - Muse)
dan beberapa lagu tidak formal yang lain...


Secara keseluruhan, aku berpuas hati dengan prestasi ahli kumpulan berasaskan kepada tahap skill dan pengalaman yang ada. Meskipun hampir menjadi lagu sampah, namun iramanya masih boleh difahami dan dikenalpasti. Tahniah kepada semua!

Ahli kumpulan, sila fikirkan masa yang sesuai untuk sesi kedua. Terima kasih.

berakhirnya coretan 80...

Coretan 78: mari belajar memasak...

bermulanya coretan 78...

Aku ada satu rahsia, yang orang lain tidak tahu. Hanya aku seorang saja yang tahu. Dan Allah tentunya. Rahsia ini berlaku ketika aku sedang bercuti. Tapi hari itu bukan hari cuti. Cuma aku seorang saja yang bercuti. Bekerja dari rumah. Bila aku bangkit dari mati sekejap, aku lihat sudah tiada siapa didalam rumah. Lalu aku pun melayari internet dan facebook.

Beberapa minit kemudian, aku mula bosan. Lalu terlintas difikiranku untuk melakukan sesuatu yang jarang kulakukan. Iaitu memasak! Aku memang tidak pandai memasak. Aku cuma mampu masak ayam masak merah, masak lemak cili api, ikan 3 rasa, spaghetti dan double cheese burger saja. Oh, aku tipu. Aku cuma pandai masak air, meggi dan telur sahaja.

Setelah berfikir sejenak, aku pun melayari internet dan menaip...

'Cara-cara memotong bawang'

Lalu keluarlah 22600 keputusan yang berkaitan dengan pencarianku. Kemudian aku pun klik link ini http://lovely-honey.blogspot.com/2006/05/cara-memotong-bawang.html dan belajar memotong bawang dari blog itu. Dan aku berjaya setelah 3 ulas bawang merah hancur dek menjadi mangsa kekejaman ku.

Setelah berpuas hati dengan potongan2 yang kulakukan, aku pun merancang resipi rancangan memasak ku ini. Berdasarkan bekalan bahan mentah yang ada, aku pun merancang untuk memasak makanan kegemaranku iaitu...ikan bilis goreng!

Lalu minyak pun dipanaskan. Dan dengan tegarnya aku pun mencampakkan segenggam ikan bilis ke dalam minyak panas itu. "Wah, menjadi. Senang je nak buat ni...hmm~" Fikirku dalam hati. Gaul punya gaul, ikan pun lalu hangus. Setelah diangkat dan dijamah, maka masinlah rasanya. Lalu dengan tegarnya aku mencampakkan ikan-ikan tersebut ke dalam plastik hitam. "Gagal nampaknya..."

Kemudian, aku terlihat telur, bawang yang sudah siap dipotong, dan ikan bilis. Resipi kedua adalah...telur dadar ber'ikan bilis'! Hmm...menarik. Dua biji telur kemudian dipecahkan dan dikocak bersama hirisan2 bawang dan ikan2 bilis yang telah mati dan dicurah kedalam minyak panas yang menggelegak. Dan hasilnya....!
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
A MASTERPIECE!!!



Benarlah kata orang, don't judge a book by its cover, don't judge a telur dadar by its look...Walaupun luarnya nampak kurang menarik, namun rasanya...juga tidak menarik. Kerana sedikit masin. Oh,aku tipu. Banyak masin sebenarnya. Aku lalu makan dengan reda. Bersama sebungkus nasi goreng CINA buatan ANE mapley. Kontradik sangat bukan?

Dalam proses menyeksa tekak.(Bentuk LOVE di sos itu tidak disengajakan)



Oh,berjaya menghabiskan. (Sudu garfu yang dipangkah bermakna tidak mahu apa2 lagi)



Kemudian aku mengemas rumah dan menghapuskan segala bukti yang ada. Itulah antara aktiviti aku pada hari aku saja bercuti.

p/s: aku rasa seorang tukang masak lelaki adalah sangat cool...

berakhirnya coretan 78...

Coretan 77: insan baru...

bermulanya coretan 77...

Alhamdulillah~
Sepatah kata buat merungkai tanda syukur ku pada Mu.
Bila dengan izin Mu, seorang lagi insan telah lahir melihat dunia Mu ini.
Pada 10 Nov 2009. Jam 2305.
Melalui seorang ibu bernama Noorwanisazrina.
Dan ayah bernama Khairil Ariffien.
Semoga insan ini dipanjangkan usia dan dipermudah urusan dunia dan akhirat.
Sentiasa di bawah lindungan Nya.
InsyaAllah.

Anak buah aku keempat.
Muhamad Arief Hadief B Khairil Ariffien.



Oh...ayahnya memang bengong..hahah~

berakhirnya coretan 77...

Coretan 75: teknik berpisah secara aman...

bermulanya coretan 75...

Artikel ni aku copy paste dari www.gua.com.my...so kredit tuk diorang...sangat berguna untuk orang-orang yang memerlukan tips berpisah...macam aku! hahah~

5 Mac 2008

NOTA: GUA tidak bertanggungjawab jika teknik yang dicadangkan ini tidak berjaya menghasilkan keputusan yang diharapkan. Pastikan pasangan anda tidak membawa objek-objek yang merbahaya atau sedang meminum air panas yang mungkin mencederakan diri anda atau dirinya ketika mesej perpisahan itu disampaikan. GUA mengucapkan selamat berjaya dan kuatkan semangat anda dalam memilih arah masing-masing yang bertentangan.

Tidak ada masa yang sesuai untuk pasangan berpisah. Yang baru declare seminggu atau yang sudah berpuluh tahun bersama, serupa saja sukarnya. Begitu ramai yang stay in a relationship walaupun sudah tidak bertenaga dan bermaya hanya kerana tidak mahu memulakan bicara tentang perpisahan. Tiada siapa yang ingin berpisah tetapi jika sudah tiada keserasian, lagi ditunggu lama lagi tidak wajar. Bak kata James Morrison, “no point trying when the pieces don’t fit anymore”, jadi kenapa perlu mencuba lagi. Bukan bercinta sahaja memerlukan kemahiran, berpisah juga perlu tahu tekniknya agar tidak mengalami an ugly breakup. Untuk mereka yang sudah ready untuk berpisah, dapatkan teknik berpisah cara aman eksklusif dari GUA.

Jangan berlengah untuk berpisah kerana apabila hati sudah tidak suka, sudah tidak sayang, apa pun pasangan lakukan tidak berkenan di mata anda. Samada anda sentiasa sakit hati atau anda akan abaikan sahaja dia kerana semuanya sudah jadi tidak penting bagi anda. Apabila perhubungan tawar dan hambar, siapa yang gembira? Anda pun tidak, dia pun berduka. Perhubungan perlu ditamatkan jika kebahagiaan sudah tidak ada di salah satu pihak. Masa yang diambil untuk memperbetulkan perhubungan adalah tidak berbaloi dan lebih baik digunakan sahaja masa ini untuk mencari pasangan baru yang lebih serasi. Jadi teknik pertama, jika sudah tidak serasi, jangan lengahkan perpisahan.

Untuk berpisah harus berani bersemuka dengan pasangan. Hanya pengecut yang berpisah menggunakan sms, email, telefon atau menghilangkan diri. Jumpa dia dan katakan isi hatimu, berbincanglah dengan aman dan tunjukkan kepadanya bahawa anda menghormati dirinya dan perpisahan ini perlu kerana sudah tiada keserasian dalam perhubungan lagi. Berhati-hati dengan reaksi yang mungkin anda terima daripada pasangan anda. Si dia mungkin marah, mungkin menangis, mungkin terkedu, mungkin meraung, anda tidak tahu. Walau bagaimanapun reaksi dia, anda perlu kuat untuk mempertahankan niat anda untuk berpisah dan jangan kerana beberapa butir airmata yang berlinang, hati jadi lembut dan anda menarik balik niat untuk berpisah walaupun di dalam hatimu hanya ada kasihan.

Elakkan daripada memberi isyarat bahawa jika ada jodoh, kita akan bersama juga akhirnya. Maksudnya, jangan memberi harapan ada kemungkinan untuk bersama kembali di masa akan datang. Jangan! Jika hendak putuskan perhubungan, putuskan dengan sempurna. Jangan biarkan pasangan anda cling on to something yang anda sendiri tahu tidak ada. Cantas habis, jangan tinggalkan apa-apa. Mungkin kedengaran kejam tetapi itu yang terbaik untuk anda dan dirinya.

Pastikan anda jangan menyakiti hatinya dengan meluahkan segala kekurangan yang dia paparkan di sepanjang perhubungan. Simpan sahaja itu semua. Lebih baik anda fokus kepada diri anda dan kenapa anda tidak lagi sesuai untuk berada di dalam perhubungan tersebut. Mengutuk diri dia hanya akan memburukkan keadaan dan jangan bodoh sangat untuk mengatakan bahawa anda sudah ada teman baru untuk menggantikan dia. Ini hanya akan menyebabkan anda mendapat kecederaan, paling kurang kena pukul dengan beg tangan.

Akhir sekali, dengarlah rayuannya untuk kali yang terakhir. Biarkan dia meluahkan apa perasaan yang dia rasa, kemarahannya, kesedihan, kekecewaannya. Itu hak dia untuk meluahkan rasa hatinya. Cuma, anda jangan lembut hati kerana kasihan dan menerima dia kembali walaupun hati anda sudah tiada niat untuk bersamanya lagi.

ok...try your best! and good luck! hua3~

berakhirnya coretan 75...

Coretan 73: Maafkan aku...(puisi dari hati)

bermulanya coretan 73...

[Lagu latar: Kembali Pulang by Kangen Band]


Lagu ini lagu yang kau tuju padaku dulu,

Kerna fikirmu tika itu aku telah kembali padamu,

Setelah kamu ku tinggal pergi satu masa dulu,

Tinggal tanpa khabar, tanpa berita, tanpa cerita,

Jua tanpa alasan yang konkrit,

Yang lalu membuatmu bertanya,

Akan sebab pemergianku tika itu.


Benarnya, aku punya alasan ku sendiri,

Alasan yang padaku bukan alasan,

Yang patut kujadikan alasan,

Kerna alasan itu tentunya kan menyakiti hatimu.


Namun alasan itu tidak utama bagimu lagi,

Kerna anggapanmu aku telah kembali disisi,

Kembali pulang padamu yang setia menanti,

Mengisi hatimu yang kosong sebelum kini.


Tapi sayang,

Aku harus dan akan pergi sekali lagi,

Kerna hati ini tidak mampu sekali,

Untuk menerima mu disisi kembali.


Maafkan aku,

Kerna keputusan ku yang berat ini,

Aku tak mampu menipu diriku lagi,

Jua menipu dirimu yang tulus mencintai diriku.


Aku harus pergi...

Benar, aku harus pergi,

Maka lepaskanlah aku dengan kerelaan,

Dan maafkan kerana aku tidak benar-benar kembali pulang padamu,

Maafkanlah aku...


Berakhirnya coretan 73...

coretan 72: 31 Oct 2009 vs 31 Oct 2000

bermulanya coretan 72...

31 Okt 2000

Masih jelas dalam ingatan aku, Hari Sukan Sekolah Sek.Keb.Datuk Akhir Zaman yang berlangsung tika itu. Sebagai Ketua Pengawas Sekolah, dan juga Ketua Rumah Sukan Hijau, aku memikul tanggungjawab yang besar dalam kejohanan kali ini. Meskipun aku bukan seorang atlet yang hebat, tapi aku perlu berkhidmat dalam proses pengurusan majlis besar ini. Ini juga merupakan kali terakhir aku akan menyertai kejohanan sukan sekolah rendah memandangkan aku sudah berada di Tahun 6, iaitu tahun terakhir di sekolah tersebut.

Sebenarnya, bermula Tahun 1 hingga Tahun 5, aku adalah ahli Rumah Sukan Merah yang mana antara rumah sukan terhebat di sekolah. Hampir saban tahun Rumah Merah memenangi Kejohanan Sukan di sekolahku. Namun, atas alasan Rumah Hijau memerlukan seseorang yang boleh diharapkan untuk mengetuai kumpulan tersebut, aku ditukarkan ke Rumah Hijau dan terus dilantik sebagai Ketua tanpa kerelaanku sendiri. Aku lalu menerima tanggungjawab yang diberikan dengan berat hati.

Tiba pada hari kejohanan, seperti yang dijangka, Rumah Merah sekali lagi menjadi Johan Keseluruhan. Pada mulanya, aku dapat menerima keputusan dengan tenang memandangkan keputusan tersebut sudah kujangka walaupun hati aku benarnya sedikit terguris dan sedih. Namun begitu, hatiku mula sakit, dan marahku mula menyala apabila dicabar, diejek dan ditertawakan oleh beberapa orang pelajar Rumah Merah yang sengaja ingin mencetuskan kemarahanku. Mereka menolak-nolak mukaku dengan piala kejohanan sambil mengeluarkan kata-kata ejekan yang tidak sedap didengar oleh telinga. Bagaikan mereka adalah penyumbang utama kemenangan itu, sedangkan apa yang aku tahu, mereka tidak lebih dari tukang sorak yang tidak memberi manfaat yang besar kepada kumpulan.

Pada mulanya aku masih mampu bersabar, namun setelah beberapa lama diperlakukan sebegitu, aku mula melawan dan menentang. Aku yang dari tadinya duduk diam, bangun dan terus menerpa ke arah salah seorang pelajar tadi hingga dia terbaring di atas tanah sambil tangannya masih memegang piala tadi. Aku yang bagaikan dirasuk hantu, terus melepaskan beberapa pukulan dan tumbukan di kepalanya. Namun belum sempat kemarahanku reda, aku ditarik oleh seorang pakcik tukang sapu yang kebetulan ada berhampiran. Aku ditenangkan olehnya dan kemudian aku pun berlalu pergi dari situ menuju ke telefon awam untuk menelefon ayahku bagi menjemputku pulang ke rumah.

Mulai dari hari itu, aku terus mengisytiharkan 31 Okt sebagai hari paling kubenci. Kenangan pahit itu akan terus tersemat di hati. Meskipun ianya hanyalah perkara kecil, namun aku tidak dapat menahan apabila maruahku diinjak-injak oleh orang lain. Pantang bagiku diperlakukan sebegitu. Aku ingat lagi, ada aku tuliskan perihal ini di almari baju rumah lamaku. Ayatnya masih ku ingat lagi,

"31 Oktober 2000: Hari paling menyedihkan, hari paling kubenci..."

Tapi aku tak pasti samada ianya masih ada atau tidak. Kerna rumah itu sudah lama kutinggalkan dan didiami orang lain kini.

...INTERVAL...

31 Okt 2009

9 tahun kemudian, pada tarikh yang sama. Aku dan 7 orang Geng Pandan Mewah(GePaM) yang lain telah berkelah di Hutan Rekreasi Sg. Gabai, Hulu Langat. Perjalanan dari rumah sewa kami di Pandan Mewah hanya mengambil masa kurang lebih 40 minit sahaja. Sebuah kereta dan 4 buah motor terlibat dalam aktiviti kali ini.

Rancangan asal mahu bertolak awal, jam 8 pagi. Namun rahmat Allah yang turun di pagi harinya, menolak masa perjalanan sehingga jam 11 pagi kurang lebih. Setelah membuat persiapan, seperti masak hotdog, nugget, dan membuat inti sandwich, kami pun bertolak.







Engineering Chef at work! Rancangan memasak tanpa mandi...hahah~

Setelah tiba disana, kami terpaksa menaiki tangga ala-ala batu caves untuk sampai ke level teratas air terjun tersebut. Satu kesilapan yang dibuat sebelum mendaki adalah:- kami tidak makan terlebih dahulu walaupun hari sudah tengahari. Maka apabila tiba di atas, ada di antara kami yang hampir pitam.

[Bertolak pergi...]


[Ketibaan...]


[Kegembiraan jelas terpancar pada mula perjalanan...]


[Berusaha!]


[Sampai juga akhirnya...keletihan dan kemengahan...]


Lalu setelah makan dan berehat beberapa lama sambil mencuci mata, kami pun turun ke air. Kami pun menyelam, berenang, menerima urutan ogawa air terjun, melakukan kuak lentang, terjun katak, balik kuang, meluncur atas batu, menolak saudara Jaws ke arah batu, tergolek dan sakit, mengambil gambar, mengambil gambar awek tanpa pengetahuan beliau dan melakukan berbagai lagi aktiviti di sana.

[Sesi berehat sambil mencuci mata]


[Sesi mandi sambil bergambar]


[Sesi mandi sambil bergambar lagi]


[Sesi balik kuang dan terjun tiruk]


[Sesi mengisi perut]


[Sesi meluncur menggunakan dada]


[Sesi....erm,rafi tolong terangkan...hahah~]


[Sesi menolak saudara Jaws ke arah batu]


Setelah beberapa lama dan hari hampir hujan, kami pun berkemas dan berjalan pulang. Meskipun keletihan, namun kami tetap gembira kerana rancangan kami untuk berkelah telah berjaya. Mungkin kami akan ketempat lain pula selepas ini. Ada cadangan?

[Sesi menurun tangga berangkat pulang]


[Sesi bergambar di papan tanda]


Setelah berakhir sesi berkelah ini, aku tiada apa-apa perasaan benci pada tarikh 31 Oct lagi. Hanya neutral. Ya, neutral.



berakhirnya coreta 72...

::disklemer::

Segala coretan yang dimuatkan dalam laman 'corat coret kehidupan' ini adalah hasil tulisan Khairil Nizam Bin Mohamad Darus. Sebarang jenis ambilan dan adaptasi dari laman ini perlulah dengan kebenaran. Beliau menulis berdasarkan pemikiran, pengetahuan dan pengalaman sendiri tanpa berniat untuk menyinggung atau mempersendakan sesiapa. Sekiranya ada yang tidak senang dengan apa yang disampaikan, harap dimaafkan. Semoga kita sentiasa berada di bawah lindungan Allah S.W.T.