Pages

Puisi pendek cincai untuk Hj.Jai

Akhir masa ini kuala yang berlumpur selalu kabur visualnya, Air dari langit pula menerjah tidak tentu lagi masa ketika, Yang terkadang membasahi diri, akal, emosi dan hati, Bergelut sesama sendiri tanpa pernah berhenti untuk memerhati, Sambil menunggu hari untuk mati. Namun dalam sedang aku tercari-cari makna, Allah hadirkan kau seorang figura tua, Satu hambaNya yang Dia tahu mampu untukku yang sedang perlu, Hadirkan suara kata membantu memanggil keluar dari jalan buntu. Takdirnya jalan hidup kita bertemu di simpang empat, Untuk kau sempat tak henti beri manfaat, nasihat, semangat dengan hemat, Biar tentang kerja dunia, mahupun akhirat, Yang bila kukenang semula sesaat, Hujan yang tadi membasahi itu pasti sudah bersama curahan rahmat. Dalam doaku kini bertambah satu nama, Agar curahan rahmat Allah itu kau kena tempiasnya sentiasa, Kepada Zailani Yaacob dan keluarga, Moga bertemu kita semula di syurgaNya sebagai pemula terbaik untuk kehidupan yang selamanya. Sekadar puisi pendek cincai, Terima kasih Hj. Jai! Selamat Bersara haji. - Khairil Nizam Darus aka [kaizarus]

Ke-3 dari KN23

Cerita hidup kita tak sama, Ujian kita jua benar berbeda, Tapi asal semua sama dari atas sana. Duga-Nya adalah cinta, Kurnia-Nya kadang jadi duga, Bila kau redha, nantilah gantinya tiba.

SEKADAR CERITA PENDEK BUAT KENANGAN

Harinya Khamis. 4 hari sebelum Ogos tiba. Ketika itu hari sudah lewat petang, aku sedang dalam perjalanan pulang ke rumah menunggang kuda merah putih usang. Meski fikiran terkadang melayang dalam terang matahari petang, perhatian aku ke jalan dihadapan tidak aku abaikan. Satu demi satu haiwan besi dikiri kanan aku tinggalkan, menelusuri celahan ruang yang sekangkang kera tua, sekadar ada. Sedikit laju juga kukira kerana sering terbayang wajah Ali Iman anakku menanti ayahnya muncul di muka pintu sekolah dengan senyuman manis dimuka berjambang ini. Namun cerita hidup kita kan telah tertulis. Pada hari ini disekian masa, takdirnya tubuh aku dan jalan tar itu akan bertemu mesra. Asbabnya hanya dek kerana sedikit keraguan dalam tindakan seorang hamba Allah yang tiada pernah ada ceritanya dalam kisah hidupku. Saat kuda besi ini hampir tiba di lokasi tragedi, lampu kuning penunjuk keretanya mula berkelip dan pada masa yang sama badan kereta bergerak sedikit kekanan bermaksud untuk menukar arah dan membelah terusan aku punya laluan. Aku masih tenang. Punat hon motor yang kadang berbunyi kadang tidak aku tekan kemas, nasib kali ini ia berbunyi tegas memberi amaran. Lalu kuperhatikan ada sedikit tindakan untuk membatalkan gerakan. Aku makin tenang. Pendikit yang tadi kulepaskan, kupulas kemas berniat meneruskan perjalanan. Namun begitulah, cerita kita kan telah tertulis. Putaran roda kemudi kereta itu dibalas kembali ke laluanku tadi, pemandu dapat ilham baru barangkali. Tapi aku masih tenang. Dua mekanisme memberhentikan motor di kaki dan tangan aku aktifkan serentak semampunya. Selebihnya aku serah pada Dia saja. “Sreeeettttt….dum, gduk gduk!!!” Geseran getah tayar dan jalan tar hitam menjerit memecah hening petang. Diikuti dentuman berbunyi sederhana kuat terhasil saat besi dan besi bercumbuan di tempat awam. Gelap sebentar pandanganku. Aku beruntung. Situasi ni pernah aku lalui 16 tahun lalu. Tahun 2007. Kuda besi yang sama, tika itu masih baru, belum usang. Namun ketika itu jiwa masih muda, lesen baru dicetak, masih panas lagi. Pengalaman pun belum tercipta. Dalam kegelapan pandangan yang seketika tadi aku teringat, tapi bukan tentang mati lagi. Aku teringat kalau aku terus berkuat menggengam pendikit motor ini, kesannya akan lebih serius. Dulu aku patah tulang lengan dua batang sebab dihempap motor yang tak kulepas pergi. Sayang harta dunia katanya. Benar sia-sia. Makanya kali ini kulepaskan semuanya, terus berguling selagi ada ruang untuk menyerap hentakan, sehingga tubuhku statik. Lalu kepala kulindung segera dengan tangan, bersama harapan tiada sambungan hentaman yang mampu menceraikan nyawa dan badan. Alhamdulillah tiada. Bingkas aku bangun. Periksa tubuh yang makin kurus ini sekadarnya. Capai beg sandang dan bungkusan plastik diatas jalan. Isinya roti hitam kesukaan sayang, syukur masih ada rezekinya melepas idam. Berdiri sebentar ku ditepi jalan, kutarik nafas dalam, kuhembus perlahan. Syukur aku masih didunia yang sementara. Beberapa ‘good samaritan’ membantu menegakkan kuda besi yang terbaring tenang. Syukur juga ia masih bernyawa. Pasti terlintas dihatinya, “Apa saja lah tuan ku ini..mesti lesen terbang dulu ni.” Diamlah kau. Insan yang terlibat dalam kejadian ini juga orang baik-baik pada hematku. Dia menghampiri dan memohon maaf atas kesilapan dan keraguan tindakannya tadi. Kukatakan tak mengapa. Aku baik-baik saja. Dia minta nombor telefon untuk menghubungiku nanti, kukatakan tak mengapa kerana aku sudah berpunya. Eh, bukan, bukan itu sebabnya. Kerana aku tidak mahu memanjangkan cerita lagi, dan juga tidak mahu memanjangkan susunan kenderaan dijalan ketika itu. Aku tahu semua mereka mahu pulang segera, mahu berehat, ada urusan lain yang mungkin lebih penting. Lupakan saja hal ini dan teruskan perjalanan seperti biasa. Hikmah pasti ada. Percaya saja. Begitulah. Allah Maha Tahu. Tamat. - KN23, 3 Aug 2023.

Ke-2 dari KN23

Kerna tika mula. Paku-paku halus itu satu demi satu pernah aku palu. Pada qalbu yang tulus tanpa jemu. Kerna hakikatnya aku tidur. Hidup tapi lena. Celik tapi buta. Suara dalam hanya kata, aku sedang isi ruang lohong yang ada. Bikin pulih. Walau hakikatnya, bikin makin pedih. Maka tika kini. Aku minta masa. Dan maaf hingga syurga.

::disklemer::

Segala coretan yang dimuatkan dalam laman 'corat coret kehidupan' ini adalah hasil tulisan Khairil Nizam Bin Mohamad Darus. Sebarang jenis ambilan dan adaptasi dari laman ini perlulah dengan kebenaran. Beliau menulis berdasarkan pemikiran, pengetahuan dan pengalaman sendiri tanpa berniat untuk menyinggung atau mempersendakan sesiapa. Sekiranya ada yang tidak senang dengan apa yang disampaikan, harap dimaafkan. Semoga kita sentiasa berada di bawah lindungan Allah S.W.T.