Pages

coretan dua belas: tiga dalam satu...

bermulanya coretan dua belas...

Hidup ini penuh ujian.Ujian dalam kehidupan.Tak masuk lagi ujian-ujian matapelajaran.Memang berlambak.Aku diuji dengan hebat sekali pada hujung 2008.Tiga kisah kehilangan aku bermula disini. Bacalah jika rajin.

Kisah satu...
Aku akan bertolak balik pada hari itu. Sekali lagi aku berseorangan meredah jalan dari UTP menuju ke kampung halaman. Aku akan kembali ke UTP menaiki kereta beberapa hari kemudian untuk mengambil barang-barang yang kutinggalkan. Memandangkan aku pulang kali ini menaiki motor. Pintu bilik V4B-F2-6 kutinggalkan dengan bermangga dari luar. Barang-barang penting seperti printer dan beberapa perkakas elektrik lain kutinggalkan di bilik Fahmi kerana aku risau bilik ku akan dimasuki orang. Dan perkara itu memang berlaku juga. Bila aku kembali, kunci mangga itu telah dipecahkan. Bilikku berserakan. Barang-barang bersepah di atas lantai. Setelah kuperhatikan,baru kusedar bahawa koleksi buku-buku teks yang telah kugunakan untuk beberapa semester lepas telah lesap. Yang tinggal hanya kotak kosong tempat kutinggalkan buku-buku itu. Aku hanya menghela nafas panjang dan menganggap itu satu ujian. Lantas ku kemaskan barang-barangku dan berangkat pulang.Macam haram...

Kisah dua...
Aku tak ingat tarikhnya, dan aku tak mahu pun mengingati tarikh pahit itu.
Malam tu malam terakhir show Kerusi di Taman Budaya Ipoh. Persembahan yang terbaik pernah aku lakukan sepanjang kareer aku dalam pementasan teater berlaku pada malam itu. Hati aku puas, gembira. Watak Srisegala memberi kesan. Satu perkara itu yang aku harapkan. Jam 12.30 malam,tiba di blok V1A,bilik 012,UTP. Aku hairan, pintu tidak berkunci. Bangsat! Mejaku kosong. Sedangkan disitulah tempat terakhir komputer riba Compaq Presario v5000 15" Widescreen telah kutinggalkan tengahari tadi. Laptop,external hard disk Maxtor 250GB yang baru kubeli beberapa minggu lepas,telefon bimbit Nokia 6680 yang kubeli dari e-bay juga lesap tanpa kesan. Telefon itu kutinggalkan untuk dicas. Makanya dengan pengecasnya pun turut hilang. Memang bangsat kali kedua. Kuperhatikan sekitar. Almari bajuku dibongkar. Baju-baju berserakan. Beg sandang laptop jenama Sony yang juga kubeli dari e-bay turut lesap. Bangsat kali ketiga. Bermakna bonus bagi si bangsat itu kerana di dalam beg itu ada satu thumb drive 1G kepunyaanku dan satu lagi berkapasiti 4G kepunyaan Aji. Hatiku mula sebak. Semuanya berlaku sekelip mata. Segala kenangan dan memoriku bersama barang-barang itu bagai diragut tanpa kusedar. Aku tak peduli dengan cerita, lagu mahupun klip video yang kusimpan dalam hard disk itu. Aku hanya sesal kerana segala gambar kenanganku bersama keluarga, kekasih dan teman-temanku ada tersimpan di situ. Air mataku bergenang. Nasib sama menimpa teman sebilikku, Azizi. Komputer riba dan beg bajunya turut dicuri. Patutlah hatiku berat sama sekali untuk meninggalkan bilik tengahari tadi. Rupanya itu kali terakhir aku melihat barang-barang itu di atas mejaku. Haihh...ujian oh ujian...

Kisah tiga...
Hari itu hari Sabtu. Aku akan berangkat ke Penang menaiki bas dari Medan Gopeng. Bas bertolak jam 8.30 jadualnya. Dan aku telah tiba di Medan Gopeng seawal jam 8 pagi. Maklumlah, seronok nak jumpa kekasih. Dia belajar di USM. Kos Masscom. Betul ke aku eja ni? Akhirnya bas bertolak jam 9. Penat aku tunggu. Nasib baik bas VIP. Hanya tiga kerusi dalam satu baris. Baru selesa. Perjalanan selamat. Tiada apa yang menarik. Aku tidak turun meskipun bas itu berhenti di salah satu hentian sebelah. Tiada apa yang hendak kulakukan jika turun pun. Namun setelah bas itu bertolak dari hentian itu, aku mula rasa nak terkencing. "Adoii,kenapa tadi tak terasa?" Bisikku sendirian. Yela, takkan nak cakap kuat-kuat pula. Mahu tak mahu,aku terpaksa tahan sehingga sampai ke destinasi. Bila sampai ke stesen bas Sg. Nibong, aku bergegas turun. Sebelum turun, kutoleh kebelakang sekilas pandang bagi memastikan tiada barang tertinggal. Kemudian aku ke toilet dan melepaskan hajatku. Lega. Keluar dari tandas, aku ingin menghubungi kekasihku bagi memberitahu ketibaanku. Kuseluk tangan dalam beg sandang Timberland warna coklat yang kubeli di pasar malam Taman Maju dengan harga RM25. Ku kira telefonku. Satu... "Eh,mana lagi satu...?" Nokia 1200 yang baru kubeli bagi menggantikan telefon ku yang hilang dicuri dalam kisah dua tiada kutemui. Ku seluk kocek seluar, baju, jaket. Tiada juga. Puas aku memikir. Dalam bas! Aku berlari ke tempat parking bas. Binatang besar tu sudah tiada. Telah berlalu pergi. Aku cuba mendail telefon itu. Tidak berjawab. Ahh...telefon tu silent mode. Malang. Berpuluh kali kucuba sambil mengharap ada yang menjawab. Hampa. Beberapa lama kemudian. Kudail lagi. Namun nada pun sudah tiada lagi. Hampeh...

Tetapi masa yang kuluang bersama kekasihku pada hari itu dan keesokannya sangat bermakna. Aku tidak kisah jika itu harga yang perlu ku bayar untuk bertemu dan meluangkan masa bersama dia. Aku sanggup. Aku rela. Aku redha.

Namun tekadang aku terfikir, mungkinkah itu semua adalah harga yang perlu aku bayar kerana aku pernah mengambil sesuatu yang telah mutlak dimiliki oleh seseorang yang lain? Mungkin juga...kerana Allah itu Maha Adil.

berakhirnya coretan dua belas...

::disklemer::

Segala coretan yang dimuatkan dalam laman 'corat coret kehidupan' ini adalah hasil tulisan Khairil Nizam Bin Mohamad Darus. Sebarang jenis ambilan dan adaptasi dari laman ini perlulah dengan kebenaran. Beliau menulis berdasarkan pemikiran, pengetahuan dan pengalaman sendiri tanpa berniat untuk menyinggung atau mempersendakan sesiapa. Sekiranya ada yang tidak senang dengan apa yang disampaikan, harap dimaafkan. Semoga kita sentiasa berada di bawah lindungan Allah S.W.T.