Pages

coretan sebelas : antara aku,nenek dan teh susu...

bermulanya coretan sebelas...

Lama benar rasanya aku tidak menaip.Mencoretkan sebarang coretan untuk dierti...

Entah bagaimana pada satu ketika aku terkenang kembali.Suatu masa bilamana aku berada di rumah atuk dan nenek sebelah ibuku di Kg.Jijan,Labu.Saat itu aku hadir bertiga bersama kedua ibu bapaku.Niat di hati hanyalah untuk menziarah memandangkan sudah begitu lama kami tidak bertemu.Ini kerana ruang dan masa yang memisahkan kami agak luas.

Setelah tiba,seperti biasa pertemuan dimulakan dengan bual bicara ringkas bertanyakan tentang khabar dan keadaan masing-masing. Alhamdulillah,ketika itu keduanya sihat walafiat tanpa sebarang cacat cela.

Memang sudah menjadi kebiasaan tetamu,akan dihidangkan sedikit santapan oleh tuan rumah buat pembasah anak tekak.Untuk tujuan itu,kami berhimpun di ruang makan di dapur.Atuk dan nenek menghidangkan air sirap dan beberapa juadah lain buat kami.Sampai beberapa ketika,nenek berkata kepadaku...

"Dik...kau nak teh susu sejuk...?ni ado nih..." sambil mengeluarkan sekole air teh susu sejuk dari peti penyejukan...

Aku kemudian menolak pelawaan nenek dengan hormat,memandangkan air sirap yang dihidangkan sudah cukup untuk menghilangkan dahagaku...

"Ermm...xpola nek...biala situ dulu..." Lalu nenek meletakkan kole air itu di atas meja berhadapan kami.

Perbualan rancak antara mak, abah, atuk dan nenek diteruskan. Berbagai isu dan topik dikupas. Bermula dengan cerita tentang perkahwinan abang ngah yang baru berlangsung, cerita tentang cukai tanah, sehingga cerita kera di belakang rumah pun menjadi cerita. Aku hanya menelinga sambil sesekali tertawa kecil melihat gelagat atuk dan nenek yang begitu bersemangat bercerita.Tekadang juga mereka bergaduh kecil apabila ada yang mereka tidak sependapat.

Bilamana seketika semua senyap tidak berbicara,nenek akan kembali mempelawa kami untuk menjamah makanan atau menambah minuman di dalam cawan.Dan di suatu ketika,sesuatu yang agak lucu berlaku.Nenek buat kali kedua menawarkan aku teh susu seperti dia tidak pernah menawarkan aku teh itu sebelumnya.

"Eh,dik...tambahla air tu...ni raso eh air teh susu ni kalo tak silap nenek...(sambil membuka kole air yang sudah aku ketahui memang teh susu sejuk tadi...)...ha,kan boto.kau nak ko??"

Sekali lagi aku menolak pelawaan nenek dengan hormat,sambil tersenyum simpul...
"Takpela nek...cukup dah air sirap ni..."

Kemudian cerita dimulakan semula.Aku kembali menelinga.
Dan untuk beberapa ketika kemudian,untuk kali ketiganya...nenek kembali menawarkan aku air teh susu sejuk tadi seperti dia belum pernah menawarkan air itu kepadaku.Dan sekali lagi aku menolak.Tapi kali ini aku hanya menggelengkan kepala dan tersenyum.

Sebenarnya aku faham apa yang berlaku.Nenek sudah berumur lebih 80 tahun.Jadi ingatannya sudah tidak sekuat mana.Seketika dia melakukan satu perkara,seketika dia kembali lupa bahawa kerja itu sudah dilakukannya.Sudah nyanyuk kata orang.Sampai masanya,aku juga akan begitu.Itupun jika berkesempatan untuk mencecah umur itu.Hanya Allah yang tahu.

Setelah tamat perbualan,kami ke ruang hadapan untuk berehat dan mengambil angin luar.Kami berangkat pulang beberapa jam kemudian.Masa yang ada kami gunakan sebaiknya untuk diluangkan bersama atuk dan nenek.Aku tahu,di saat-saat akhir kehidupan mereka,tiada apa yang lebih penting yang mereka inginkan selain masa-masa berkualiti bersama anak-anak yang telah ditatang bagai minyak yang penuh sebelumnya.Jadi,ingatanku buat kalian,sayangilah kedua ibu bapa anda sepertimana mereka menyayangi anda sampai ke akhir hayat mereka.Renungkanlah...


0 comments:

::disklemer::

Segala coretan yang dimuatkan dalam laman 'corat coret kehidupan' ini adalah hasil tulisan Khairil Nizam Bin Mohamad Darus. Sebarang jenis ambilan dan adaptasi dari laman ini perlulah dengan kebenaran. Beliau menulis berdasarkan pemikiran, pengetahuan dan pengalaman sendiri tanpa berniat untuk menyinggung atau mempersendakan sesiapa. Sekiranya ada yang tidak senang dengan apa yang disampaikan, harap dimaafkan. Semoga kita sentiasa berada di bawah lindungan Allah S.W.T.